14 February 2011

Jangan Sakiti Rasulullah!


crdt to http://iqbalsyarie.blogspot.com/ sekadar berkongsi ilmu demi agama Islam..=)

Saya tiada maksud politik. Saya seperi Dr. Maza, selagi ia mengikut islam, saya akan sokong, sesiapa saja kerana manhaj saya ialah islam, bukannya sesebuah parti *noktah*

Saban tahun kita menyambut hari kelahiran Rasulallah s.a.w. Saya, secara peribadinya tidaklah seratus peratus bersetuju dengan cara kita menyambut hari lahir Baginda. Ada beberapa sebab yang agak peribadi, menyebabkan saya lebih suka jika sambutan itu dilakukan secara sendiri-sendiri. Namun, dalam masa yang sama, saya menyokong penuh sambutan secara besar-besaran, walau penglibatan saya, agak minima. Ingin tahu?

Siapa kata Rasulallah tidak menyambut hari lahir Baginda?

Sunnah puasa setiap hari isnin, asalnya adalah kerana Baginda menyambut hari lahir Baginda yang jatuh pada hari isnin. Cuma, ia dilakukan dengan niat ibadah, ubudiyyah, dan tanda kasih serta syukur pada Ilahi.

Nah! Di situ letak kata kunci bagi sambutan ini- "Ubudiyyah"

Jangan sakiti Baginda.

Saya, walau sehebat mana cinta saya pada Baginda, saya tetap tidak akan mampu mengatasi sayangnya dan kasihnya Baginda kepada saya. Akan tetapi, saya rasa bersalah yang sungguh-sungguh kerana membiarkan cinta Baginda, tidak saya balas.

Dengan rasa bersalah, izinkan saya memberi peringatan. Mudahannya, kita tidak menyakiti Baginda, tidak juga menghinanya, apatah lagi memperguna-gunakan Baginda!

Rasulallah punyai ramai bapa saudara seramai 9 orang. Antara yang ingin saya ketengahkan ialah 3 orang sahaja iaitu Abu Lahab, Abu Talib dan Hamzah.

Ketika di saat kelahiran Baginda s.a.w, semua mereka menyambut kelahiran Baginda dengan cara yang paling meriah. Yang paling grand ialah Abu Lahab. Ratusan unta disembelih dan dikorbankan, tanda syukur atas kelahiran Baginda s.a.w.

Tidak kalah, Abu Talib juga menyambut kelahiran baginda dengan cara yang meriah. Hamzah juga, bahkan.

Pun begitu, di sebalik sayangnya, kasihnya dan meriahnya sambutan kelahiran Baginda s.a.w, ada banyak peristiwa di sebaliknya, yang membuat Baginda 'sakit' iaitu bersedih hati. Sedih yang bukan kepalang, bukan juga dibuat-buat. Kesedihan yang lahir dari lubuk hati seorang Rasul.

Abu Lahab, di mana kedudukannya?

Dia ialah orang yang paling hebat menyambut kelahiran Rasulallah, tapi tetap juga orang yang paling hebat menentang Rasulallah. Neraka, nauzubillah.

Abu Talib, dimana beliau?

Dia seorang yang banyak menyokong dan melindungi Baginda tapi diceritakan dalam sahih Muslim, hukumannya tetap dalam neraka, tetapi azab yang dialami ialah serendah-rendah dan seringan-ringan siksa.

Mengapa Abu Talib, yang saban hari tanpa lelah, melindungi Rasulallah, tetap juga tidak melayakkan dirinya untuk ke syurga?

Segalanya terjawab dengan satu kalimah, "Jika aku ikuti ajaran yang kamu bawa wahai Muhammad, nescaya itu akan membuatkanmu gembira. Namun, apa kata orang kepadaku kelak"

Abu Talib... tidak turut sama memperjuangkan islam. Hanya itu...

Hamzah, di mana beliau?

Kematiannya di medan sabilillah, menumpahkan air mata Rasulallah s.a.w. "Sesungguhnya Hamzah ialah penghulu bagi para syuhada' "

Nah! itulah tempat beliau. Hebat, bahkan terlalu tinggi dan agung tempat itu.

Yang melayakkannya menduduki tempat itu tidak lain dan tidak bukan hanya kerana beliau bersama-sama memperjuangkan islam.

Benar, beliau hebat menyambut kelahiran Baginda, tapi sekelumit pun tiada di perkotak-katikkan perjuangan Baginda.

Muhasabah.

Lihat diri kita. Mungkin kita hebat berarak, berselawat bahkan bernasyid, mengenangkan kelahiran Rasulallah. Tapi di satu sudut, kita tidak tumpah seperti Abu Lahab sekiranya kita memperlekehkan ajaran Rasulallah yang lain-lain.

Atau paling tidak, kita tidak mahu turut bahkan buat tak tahu saja pada perjuangan Baginda, maka di saat itu, kita juga tidak layak ke syurga.

Paling kecil, kita perlu menjadi seperti Hamzah r.a. Allah redha padanya, dan dia juga redha pada Allah.

Sambutlah hari lahir baginda, tapi jangan letak titik noktah di sana. Sambunglah dengan turut memperjuangkan sunnah dan ajaran Baginda.

Kerana di sana, letaknya rasa menyampah saya pada golongan-golongan yang munafik. Zahirnya konon cinta Rasul dengan cara berarak, bawa sepanduk dan lain-lain tapi sejam selepas itu, apabila diajak berjemaah ke masjid dan surau, mereka menolak dengan mendabik dada. Ah, di mana cinta itu jika sunnah Rasul, satu pun tidak digenggam erat?

Renung-renungkanlah...

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Bluehost Review